Wednesday, 2 November 2016

PENGALAMAN MENYAMBUT AIDILADHA DI INDONESIA

BAYANGAN PERTAMA

Pertama sekali yang terlintas di fikiran saya bagaimana keadaan yang bakal saya tempuhi apabila berada di bumi Indonesia. Rasa bimbang di hati bukanlah memikirkan masyarakat di sana, bukan juga memikirkan tempat menginap ataupun perjalanan panjang yang memenatkan. Tetapi rasa bimbang di hati adalah makanan yang ada disana. Manakan tidak, tempat yang bakal saya tuju adalah Telaga Itar, Kelua di Kalimantan Selatan. Tempat yang jauh dari persisiran pantai. Sudah pasti makanan seperti ikan darat lebih mudah didapati.

Apa yang menjadi sedikit kegusaran, ada sebahagian makanan yang agak sukar untuk saya jamah dek kerana tidak biasa dengan makanan tersebut. Lauk masakan daripada ikan darat seperti ikan haruan, ikan keli, ikan puyu, ikan patin dan sebagainya bukan makanan kebiasaan. Tetapi, jika dihidangkan dan tiada option, saya tetap menjamah tanpa mengeluh. Ia adalah sebagai tanda syukur, hormat dan terima kasih.

PERJALANAN

Kira-kira hampir 8 jam perjalanan perlu ditempuh dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) untuk ke Lapangan Terbang Syamsudin Noor, Banjarmasin, Indonesia. Ia mengambil kira faktor transit di Jakarta kira-kira 1 jam lebih. Ketibaan saya bersama-sama ayah, pak cik dan dua orang sepupuku disambut mesra oleh saudara Chairuzzaini A Gani, Sufian Anwar dan beberapa orang lagi. 

Pada perancangan awalnya, kami bercadang untuk terus ke Telaga Itar. Ia terletak kira-kira 201KM dari lapangan terbang dan mengambil masa lebih kurang 5 jam perjalanan menggunakan kereta MPV. Walaubagaimanapun, saudara Chairuzzaini A Gani menjemput kami untuk bermalam di rumahnya, tidak jauh dari airport memandangkan pada waktu itu jam sudah menunjukkan 8.30 malam waktu tempatan. 

Setibanya di rumah beliau, kami saling bertukar-tukar cerita sementara makan malam sedang dihidangkan. Bau menyelerakan membuatkan kami semakin lapar. Hidangan ayam goreng, nasi putih, sayur masak lemak, ulam-ulaman beserta sambal menjadi jamuan makan malam kami. Enak... Cukup enak... Ditambah pula badan yang agak keletihan dan lapar menambahkan lagi selera kami. 

SUASANA KAMPUNG

Hari telahpun cerah ketika jam menunjukkan 6.30 pagi waktu tempatan. Kami bersiap-siap dan bersarapan sebelum ke destinasi yang dituju iaitu Telaga Itar, Kelua. Perjalanan yang agak mencabar bagi perkiraan saya kerana kami akan menyusuri jalan-jalan kampung. Tiada highway sepanjang perjalanan ini. Jika dibandingkan perjalan di Malaysia umpamanya, dengan jarak 200-250KM hanya memakan masa 2 jam jika menggunakan highway.

Sepanjang perjalanan, saya dapati banyak rumah didirikan di sepanjang jalan kiri dan kanan. Kebanyakannya diperbuat daripada papan dan bersaiz sederhana. Malahan rapat-rapat pula rumah antara satu sama yang lain. Suasana kampung lebih terasa kerana tidak banyak bandar-bandar besar sepanjang perjalanan. Sekali sekala melalui rumah yang besar bak istana. Mungkin dimiliki oleh saudagar batu bara (arang batu). 

Kenderaan bermotosikal banyak di atas jalan berbanding kereta. Kelajuan kenderaan kami hanya dipandu dalam purata 50-60km/jam. Kadang-Kadang mencapai 80km/jam. Kenderaan tidak dipandu laju memandangkan perjalanan hanya menggunakan jalan dua hala dan kenderaan bermotosikal bertali arus. Walaubagaimanapun tiada kesesakann lalu lintas mahupun kemalangan.



Penduduk tempatan ke pasar pagi untuk membeli keperluan harian

Masyarakat tempatan pula terutamanya kaum ibu banyak memenuhi kawasan pasar-pasar di pagi hari, membeli barang keperluan harian dan sebagainya. Kaum bapa pula ada dilihat minum di kedai kopi, sebahagian pula bekerja di pasar-pasar mencari nafkah. Kanak-kanak juga dilihat bermain secara berkumpulan di tepi rumah, memandangkan pada hari tersebut adalah hari cuti.

Bagaikan tidak lengkap rasanya jika tidak menziarahi ke Makam Syekh Muhammad Arsyad Al-Bajari di Kalampayan iaitu terletak kira-kira 12KM dari pusat kota Martapura. Menurut maklumat yang diperolehi, Syekh Muhammad Arsyad Al-Bajari berasal dari Kota Matapura yang berketurunan Banjar, merupakan seorang ulama ahli fiqh dan merupakan mufti pada masa Kesultanan Banjar saat hidupnya. Kami tidak lama disini. Selepas menyedekahkan Al-Fatihah dan beberapa surah lazim. Kami meneruskan perjalanan kami. 

Setelah tiga jam perjalanan, kami singgah di Kandangan untuk mengalas perut. Memandangkan perjalanan masih berbaki sekitar dua jam untuk sampai di destinasi. Setidak-tidaknya kami dapat melepaskan penat duduk di dalam kenderaan. 

Banner iklan yang mula-mula kami terpandang adalah Ketupat Banjar. Bagi mengetahui sama ada ia sama atau tidak apa yang ada di Malaysia, maka kami menambil keputusan untuk mencubanya. Tetapi hanya saya seorang sahaja yang tidak memesan kerana awal-awal lagi saya sudah bertanya apakah bahan utamanya. Ternyata kuahnya berasaskan daripada santan dan beberapa remuan, manakala lauknya pula merupakan ikan haruan. Ia dimakan bersama-sama nasi impit. Seperti yang saya maklumkan pada awal-awal lagi, masalah utama saya pada makanan adalah ikan darat. Jadi saya sekadar memesan 'teh manis' atau di Malaysia dikenali sebagai teh O panas dan memakan beberapa keping kuih rempeyek. 30 minit juga kami disini dan sempat juga akhirnya kami mengalas perut dan merenggang-renggangkan otot akibat terlalu lama di dalam kereta. 

Perjalanan diteruskan lagi. Sekitar dua jam kami akan sampai ke destinasi yang dituju. Sementara dalam perjalanan, ada dikalangan kami yang melayari internet walaupun kelajuan internet agak perlahan berbanding di pusat bandar, ada juga yang melelapkan mata manakala saya pula masih asyik mengambil gambar yang menarik perhatian saya.

DESTINASI

Akhirnya tepat jam 1.30 petang, kami tiba di kediaman saudara Gazi di Telaga Itar. Kediaman yang bersaiz sederhana besar, diperbuat daripada papan,  dan di cat dengan warna biru cair. Ya, disini kami akan bermalam menanti hari raya Aidiladha yang bakal jatuh pada keesokan harinya. Sesi berkenalan dan bertukar-tukar cerita berlanjutan hampir satu jam lamanya. 

Sambil pada itu, kami dihidangkan beberapa jenis makanan tempatan. Iaitu satey ayam, wadai alua dan lemang. Kali ini saya cukup berselera memandangkan terdapat satey, dan lemang yang sememangnya makanan kegemaran. Menariknya, wadai alua rasa kuihnya sama sahaja seperti kuih bahulu. Cuma dimakan bersama air gula yang tidak terlalu pekat dan agak cair juga. Tetapi masih dapat merasakan rasa manisnya. Satey pula agak berbeza dari segi rasanya. Tekstur daging ayamnya agak lembut. Ini kerana, menurut maklumat, ayam yang banyak di pasaran Indonesia lebih bersaiz kecil atau lebih muda jika dibandingkan di pasaran Malaysia. Maka, tidak hairanlah tekstur satey lebih lembut. Manakala kuah satey pula seakan-akan kuah kacang di Malaysia, cuma kuahnya lebih halus, warna coklat kehitam-hitaman, sedikit pekat, mungkin kacangnya diblend sehingga halus. Rasanya juga agak berbeza, dan masih enak dimakan. Lemang yang saya jamah pula, sama sahaja apa yang terdapat di Malaysia.

AIDILADHA

Tanggal 12.9.2016 bersamaan hari isnin telah ditetapkan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha. Seusai solat subuh, masing-masing merebahkan badan sebentar. Merasa sedikit mengantuk memandangkan waktu solat subuh sekitar 5.10 pagi walaupun waktu jam tidak ada bezanya dengan waktu Malaysia. Mungkin, pada kebiasaannya, di Malaysia kita mungkin masih lagi tidur. Tetapi di sini, waktu siangnya lebih cepat.

Hati terasa agak teruja bilamana ingin menyambut Hari Raya Aidiladha di Indonesia. Manakan tidak, ini kali pertama kami menyambut Aidiladha di sini. Tidak sabar pula rasanya untuk memulakan aktiviti disini.

Motosikal sudah siap tersedia, kami beramai-ramai menunggang motosikal menuju dewan badminton yang mana dijadikan tempat mendirikan solat sunat Aidiladha. Ia terletak tidak jauh dari tempat kami bermalam. Iaitu sekitar satu kilomiter.


Mataku memandang penduduk tempatan. Kebanyakannya mengenakan pakaian berwarna putih, berkopiah dan mengenakan kain pelikat. Rata-rata mereka menggunakan dialek banjar berbanding menggunakan dialek Indonesia. Walaupun mereka menggunakan dialaek banjar, kebanyakannya saya memahami kerana saya juga berketurunan banjar. Cuma, tidak fasih untuk berdialek banjar. 

Imam sudah pun berada di dalam dewan, menjemput orang ramai masuk ke dewan untuk bertakbir beramai-ramai. Kami juga turut bertakbir memuji Allah S.W.T. Hati berasa syukur dan gembira dapat bersama-sama menyertai jemaah yang lain untuk bertakbir, mendengar khutbah, mendirikan solat sunat dan berdoa. Syukur Alhamdulillah...

Jam sudahpun menunjukkan jam 9.30 pagi. Penduduk yang tinggal di kawasn kariah sudah pun mula berkumpul untuk memulakan gotong-royong menyembelih binatang korban. Apa yang saya dapati, terdapat tiga ekor lembu yang bersaiz sederhana besar. Salah seekornya merupakan sumbangan dari kami yang diwakili pakcikku. Harga bagi seekor lembu sekiatar Rp16,000,000 atau lebih kurang RM5,300.00. 

Tidak kira tua atau yang muda, mereka sama-sama menyertai acara gotong-royong tersebut dan turut tidak ketinggalan juga para ibu menyaksikan upacara penyembelihan. Apabila diamati, suasana dan cara bergotong-royong sama sahaja seperti berada di Malaysia. Mereka saling tolong-menolong, ada antara mereka yang melapah, ada juga yang memotong tulang menjadikan kepada bahagian-bahagian kecil. Sebahagian yang lain membahagi-bahagikan bahagian daging yang sudah dipotong ke dalam plastik untuk diagihkan. Nampak jelas di raut wajah mereka kegembiraan, tambah pula pada tahun ini mereka dapat lebih sedikit bahagian daging.

Sebahagian daripada mereka sedang memotong daging

Masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong. Setiap orang mendapat hak masing-masing untuk dibawa pulang dan semua pengagihan selesai kesemuanya sebelum masuk waktu zohor. Jadi pada sebelah petangnya dapat kami berehat sebentar.

Pada sebelah malam pula, diadakan pula majlis tahlil. Menyedekahkan bacaan Yasin dan doa kepada Arwah datukku dan saudara yang sudah lama meninggal dunia. Hidangan jamuan kali ini dibiayai oleh pakcik saya, manakala persiapan disediakan secara bergotong royang oleh beberapa orang.

Waktu yang dinanti telah tiba, selepas waktu solat Isyak, orang ramai sudah mula memenuhi ruang tamu. Jemaah lelaki dibahagian ruang tamu dan sebahagian yang lain di bahagian luar. Manakala jemaah perempuan berada di ruang dapur. Sudah lama rasanya saya tidak merasai suasana kampung dalam majlis tahlil. Seronok pula rasanya, mengimbau kembali waktu masih kecil kerana saya telah dibesarkan dikampung sehinggalah selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM, saya sekeluarga berpindah ke bandar. 

Kata-kata aluan daripada Imam sebagai pembuka bicara dan sedikit ucapan dan salam perkenalan turut disampaikan oleh pakcik dan ayah saya. Menyatakan syukur tak terkira dan berterima kasih atas layanan yang baik. Tidak pernah pula kami merasakan perbezaan walaupun kami datang dari 'seberang'.


Majlis diteruskan dengan bacaan Yasin dan doa tahlil. Disekahkan kepada arwah datukku dan saudara yang telah pergi terlebih dahulu. Mudah-mudahan upacara penyembelihan binatang  korban dan majlis doa tahlil ini akan menjadi sebagai bekalan kepada meraka yang telah pergi dan diterima Allah S.W.T. 

Apabila tiba waktu jamuan, hidangan dihidang secara tolong-menolong. Diletakkan didalam piring bagi setiap lauk dan diagih-agih kepada setiap seorang. Suasana kampung benar-benar terasa. Entah mengapa di hati cukup gembira, mungkin terkenangkan masa-masa kecil. Bersama-sama sahabat membantu tuan rumah menghidangkan jamuan. Indah dan seronoknya suasana ketika itu.  

Sedar tidak sedar, rata-rata tetamu sudah selesai menjamah makanan. Ada yang bersembang diantara mereka dan kadang-kadang kedengaran gelak tawa. Entah apa cerita yang melucukan. Begitu juga saya, bersembang terlebih dahulu sebelum mengemas pinggan. 

Tiba-tiba kedengaran laungan "Allahumma Sholli Ala Muhammad". Ia sebagai satu tanda ajakan pulang. Lebih sopan bukan cara ajakan pulang ini? Kaedah ini juga ada diamalkan di sesetengah tempat di Malaysia terutamanya di kampung. Cuma setakat ini saya tidak pernah pula melihatan amalan ini di bandar-bandar. 

Kini tiba giliran saya dan sepupu untuk mengemas pinggan-pinggan yang telah digunakan. Makanan yang elok dan tidak habis dikumpulkan supaya dapat mengelakkan sebarang pembaziran. 

Sekitar 10 malam.. Semua selesai dikemas. Dapatlah saya berehat selepas satu hari penuh dengan aktiviti. Pada keesokannya pula, kami akan ke Bandar Banjarmasin semula dan bermalam satu hari disana. 


 HARI TERAKHIR

Dari semalam lagi, kami sudah mula mengemas pakaian. Jadi, kami tidak tergopoh-gapah pada hari yang kami akan berangkat pulang. Aktiviti pada hari terakhir lebih kepada membeli-belah. Membeli pesanan daripada orang lain dan ada juga membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang. 

Sempat juga kami ke pasar ikan dipagi hari. Melihat suasana pasar ikan disini. Banyak ikan darat seperti ikan keli, ikan sepat, dan ikan puyu dijual disini sama ada ia dijual segar atau dijadikan ikan kering. Disamping itu juga, banyak sayur-sayur tempatan dan buah pisang dijual. Kami tidak lama disini memandangkan tiada apa yang hendak dibeli.

Pulang sahaja ke rumah, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Banjarmasin. Cuma pada pagi tersebut kami dimaklumkan berita yang agak mengejutkan bahawa tuan rumah tempat kami menginap iaitu saudara Pak Cik Gazi telah dimasukkan ke hospital akibat jatuh sakit. Beliau dihantar ke Hospital di Ulin, Banjarmasin ketika kami sedang tidur nyenyak. Jadi, kami mempercepatkan persiapan untuk ke Banjarmasin. Setibanya di Ulin, kami melawat beliau dan keadaan beliau stabil. Masih boleh bercakap cuma tidak terlalu banyak. Sekitar 30 minit kami melawat beliau sebelum meneruskan perjalanan ke Bandar Banjarmasin. Disana kami menginap semalaman sebelum ke Jakarta dan pulang ke tanah air.

KENANGAN

Pengalaman ini akan menjadikan satu kenangan yang cukup manis buat kami. Ini kerana pengalaman menyambut Aidiladha di bumi Indonesia sebenarnya membawa satu makna yang cukup besar. Walaupun ia dipisahkan oleh sempadan, semangat ukhwah tetap utuh, saling hormat-menghormati, dan saling memahami. Bukankah kita serumpun? Mengamalkan budaya yang tidak jauh bezanya. Jadi, mengapa perlu dibeza-bezakan? Belajar untuk saling mengenali dan memahami... 





****


Untuk Makluman, setalah seminggu kepulang kami ke tanah air, sekali lagi kami dikejutkan berita bahawa Pak Cik Gazi telah kembali ke Rahmatullah. Semoga Allah merahmati beliau..

AL-FATIHAH

No comments:

Post a Comment