Monday, 6 February 2017

PASPORT MALAYSIA TIDAK BERPENGARUH?



Masih teringat beberapa bulan yang lalu, salah seorang kawan dari luar negara menyatakan hasrat dia untuk menukar warga negara yang sedia ada. Dia menyatakan hasrat untuk menjadi warga negara Canada. Saya bertanyakan kenapa? Dia menjawab bahawa pemegang pasport Canada lebih mudah untuk ke mana-mana negara atau dengan kata lain pasport Canada sangat berpengaruh. Selain dia berkata "kalaw saya memiliki pasport yang berpengaruh ini, bila saya sampai ke negara lain.. tu.. pegawai imigresen akan tabik". Sambil melakukan aksi 'tabik springnya. Apa lagi, lalu saya tergelak-gelak mendengar kenyataanya.. 

Ok... Untuk makluman.. Ketika ini ( tahun 2017) kedudukan pasport Malaysia adalah sebaris dengan pasport Canada, termasuk juga pasport Ireland dengan berkedudukan di tangga ke-5 dunia dan sejumlah 154 buah negara mampu dilawati tanpa memerlukan visa. Negara yang memiliki skor paling tinggi adalah negara Jerman (158 buah negara) dan tangga kedua dimiliki oleh negara Sweden dan Singapura (157 buah negara).

Jadi tak salahkan kalaw saya tergelak bila memiliki pasport Canada pegawai imigresen akan tabik spring, sedangkan pasport Malaysia juga sebaris dengan Canada. Ermm.. Tak de pulak yang tabik spring.. Walaupun sebenarnya tahu dia hanya melawak dengan tabik spring dia tu.. haha..

Untuk mendapatkan sumber maklumat terkini mengenai kedudukan pasport. Boleh layari ke laman web Passport Index

Monday, 9 January 2017

PENGANGKUTAN AWAM DI PERTH (SIRI 2)

Untuk siri yang pertama saya telah menerangkan serba sedikit mengenai pengangkutan awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth. Untuk siri yang ke dua ini saya akan menerangkan sistem pengangkutan awam yang terdapat di dalam bandaraya dan terakhir sekali mengenai pengangkutan awam antara negeri. Bagi yang masih belum mengikuti siri satu bolehlah membacanya. 

PENGANGKUTAN AWAM

Jaringan pengangkutan awam yang dikendalikan oleh pengendali utama iaitu Trans Perth merupakan nadi penghubung di dalam bandaraya Perth. Menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bukan sekadar bas dan tren sahaja. Malah meliputi perkhidmatan feri.

Cat Bus

Boleh saya katakan perkhidmatan awam yang disediakan oleh pihak Trans Perth memberi perkhidmatan yang baik dan cekap. Ini kerana anda boleh merancang perjalanan, dan anda juga boleh menjangkakan berapa lama anda akan sampai untuk satu-satu destinasi.

1. Sistem pengangkutan awam di pusat bandaraya.


a) Bas
Untuk katogeri ini, ia terbahagi kepada dua jenis; berbayar dan percuma. 

i) Bas Percuma  
  • (CAT BUS) 
Perkhidmatan bagi laluan percuma ini hanya meliputi sebahagian kecil sahaja di dalam pusat bandaraya. Sebagai contoh gambar di bawah, peta bagi laluan 'CAT BUS'. Untuk menaiki bas ini, tunggu di laluan bas ini (pastikan di perhentian bas), tahan dan naik sahaja. Jika anda menaiki Blue Cat Bus, ia akan membawa anda sepanjang laluan untuk Blue Cat Bus sahaja. 

Peta Laluan CAT BUS

Terdapat empat jenis 'CAT BUS' iaitu Blue Cat, Green Cat, Red Cat dan Yellow Cat. Untuk mengetahui ianya 'CAT BUS', lihat pada paparan skrin hadapan bas. Terdapat paparan yang menyatakan ia adalah jenis 'CAT BUS'. Atau anda juga boleh lihat corak pada badan bas yang dilukis dengan gambar kucing.

ii) Bas Berbayar.
  • Bas Pengangkutan Awam

Perkhidmatan Pengangkutan Awam berbayar ini dikendalikan oleh Trans Perth. Perkhidmatan ini menyediakan bayaran secara tunai, iaitu membeli tiket di mesin layan diri atau membayar terus kepada pemandu bas. Bukan itu sahaja, anda mempunyai pilihan untuk menggunakan kad 'Smart Rider'. Fungsi kad Smart Rider ini sama sahaja seperti kad Touch and Go di negara kita. Kelebihan menggunaan Smart Rider ini adalah pengguna akan diberikan diskaun sehingga 25%. Rujuk disini

Jika anda membayar secara tunai iaitu membeli tiket di mesin layan diri, apa yang perlu anda tahu adalah lokasi yang hendak anda tuju berada di zon berapa. Jika tidak tahu, tanya sahaja petugas yang berada di stesen. Jika anda menggunakan Smart Rider, usah khuatir, anda perlu tag on dan tag off sahaja di laluan masuk dan keluar. Mudah bukan.

Penggunaan tiket yang disini adalah berbeza di negara kita. Mereka akan membahagikan kawasan mengikut zon, setiap zon akan dikenakan cas yang berbeza. Apa yang menarik adalah, tiket boleh digunakan seberapa banyak kali didalam zon sehingga tamat tempoh. Jika anda didapati menipu dalam pembelian tiket, sebagai contoh anda membeli tiket untuk ke zon dua tetapi anda menggunakan perkhidmatan awam sehingg zon 5, anda akan dikenakan denda oleh pihak Trans Perth.

Anda juga perlu mengetahui bilakah waktu bermulanya perkhidmatan dan berakhirnya perkhidmatan. Ini kerana, pada hari bekerja perkhidmatan akan tamat lebih awal dan masa akan dilanjutkan pada hujung minggu. Jika anda berada di sana (luar sedikit dari pusat bandar) pada pukul 9 malam, anda akan dapati suasananya seperti jam 3 pagi di Malaysia. Lengang dan sangat sukar melihat masyarakat berada di luar. 

Antara perkara yang perlu anda tahu jika menggunakan bas ini adalah, anda perlu menunggu dikawasan perhentian bas. Bas tidak akan berhenti selain dikawasan perhentian bas. Pernah sekali saya hendak turun dikawasan bukan perhentian bas. Selepas sahaja saya membunyikan loceng, bas hanya berhenti di kawasan di perhentian bas. Jadi, saya perlu berjalan semula kira-kira 200m dari tempat saya turun. Tapi, jangan risau... Banyak perhentian bas disediakan di laluan-laluan bas, cuma tinggal lagi ada besediakan tempat berteduh atau tidak. Hasil daripada disiplin pemandu-pemandu bas ini untuk mengambildan menurunkan penumpang, ia sebenarnya mengurangkan ganguan terhadap kenderaan lain jika bas hendak berhenti. Maka, kesesakan lalu lintas juga dapat dikurangkan. 
  • Perth Hop On Hop Off bus tour
Perkhidmatan ini juga adalah perkhidmatan yang berbayar. Cas akan dikenakan sebanyak AUD 35 bagi dewasa dan  AUD 12 bagi kanak-kanak. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.


Bagi mereka yang gemar dalam photography juga sesuai menaiki bas ini. Dapat melihat pemandangan tanpa ganguan di atas bas. Bas ini akan membawa anda ke kawasan-kawasan seperti berikut:

Stop 1 - Gray Line Tour Departure Point - Barrack Street Jetty / Swan Bell Tower

Stop 2 - 471 Hay St - City shopping
Stop 3 - Cultural Centre - Museum and Art Gallery
Stop 4 - Crown Perth - Casino / restaurants / Burwood Park Heritage Walk
Stop 5 - Perth Mint
Stop 6 - Kings Park - Tree top walk / panoramic city views
Stop 7 - Roe Gardens - DNA Tower / Swan River and City Views
Stop 8 - Synergy Parklands - Family playground
Stop 9 - Harbour Town - Discount Shopping
Stop 10 - 300 Murray St - Railways Station / Shopping Mall
Stop 11 - 56 William St - Shops

b) Teksi
Berdasarkan pemerhatian saya teksi jenis 'Swan Taxi' lebih mudah didapati berbanding syarikat lain. Mungkin syarikat ini mempunyai modal yang besar. Pernah sekali saya menggunakan teksi, dari syarikat apa tidak berapa pasti sebab ketika itu sudah malam dan agak penat untuk perjalanan ke International Airport. Teksi yang saya ambil mengenakan cas berdasarkan masa. Kalaw tidak silap saya, setiap sepuluh saat akan naik AUD 0.15 (tahun 2014). Erm.. tak berapa nak ingat sangat... Dari segi harga, ya.. Lebih mahal jika dibandingkan yang lain, tetapi lebih selesa dan cepat.

c) Feri
Denstinasi, laluan, dan perhentian yang disediakan oleh pengendali utama Trans Perth boleh dikatakn memudahkan pengguna yang menggunakan perkhidmatan awam. Bukan sekadar menyediakan perkhidmatan tren dan teksi. Malahan, perkhidmatan feri juga disediakan. Feri Transperth pula hanya menghubungkan dua kawasan yang dipisahkan oleh Sungai Swan. Sekitar 10 minit sahaja masa diambil dari Elizabeth Quay Jetty ke Mends St Jetty. Untuk mengetahui dimana terletaknya Elizabeth Quay Jetty, ia terletak tidak jauh dari Bell Tower. 

d) Tren  

Tren dilihat menjadi pengangkutan utama yang menghubungkan kawasan luar bandar ke kawasan bandaraya Perth selain kenderaan persendirian. Ini kerana laluan tren akan menghubungkan kawasan-kawasan utama di dalam bandar. Jadi tidak hairanlah ramai yang menggunakan tren. Laluan yang bermula dari Perth Underground dan akan berakhir di beberapa kawasan seperti di  Armadale, Clarkson, Fremantle, Midland dan Mandurah.


Tahukah anda sebenarnya tiket yang dibeli oleh anda boleh digunakan untuk manaiki bas dan tren dengan satu transkaksi atau kata lain membeli hanya dengan satu tiket sahaja. Asalkan zon adalah betul dan tiket masih sah. Sebagai contoh, saya berada di Joondalup (zon 3). Saya membeli tiket daripada pemandu bas dan saya menyatakan saya hendak ke zon 1. Bas yang anda naiki akan membawa anda berhenti di stesen tren berhampiran atanu mana-mana stesen tren yang berada dilaluan bas. Tiket yang anda beli tadi masih boleh digunakan untuk menaiki tren tanpa membeli tiket baru. Asalkan sah digunakan.


Tren yang disediakan adalah mesra Orang Kurang Upaya (OKU), malahan basikal juga dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam tren dan begitu juga di dalam feri. Tetapi basikal tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam bas.

2. Sistem pengangkutan awam antara negeri.

Sistem pengangkutan awam yang terbaik untuk digunakan antara negeri adalah menggunakan kapal terbang. Ini kerana keluasan negara Australia amat besar. Sebagai contoh dari Melbourne ke Perth mengambil masa lebih kurang dua jam. Dari segi harga, untuk laluan domestik ini, sekitar AUD150 untuk satu hala (Melbourne-Perth). Tetapi ia bergantung kepada harga tawaran yang diberikan oleh syarikat penerbangan.

Friday, 6 January 2017

PENGANGKUTAN AWAM DI PERTH (SIRI 1)

PERTH

Perth merupakan selah sebuah bandaraya yang terletak di bahagian barat Australia. Australia merupakan negara yang mempunyai empat (4) musim iaitu musim bunga, musim panas, musim sejuk dan musim luruh. 


Perth merupakan tempat yang seronok untuk dilawati kerana mempunyai pelbagai tempat menarik untuk dikunjungi. Untuk bergerak di dalam bandaraya Perth, perkhidmatan pengangkutan awamnya boleh dikatakan amat cekap. Pemanduan di atas jalan raya juga amat selamat jika dibandingkan di negara kita. Kebanyakan kenderaan akan mematuhi had laju, jika hendak belok ke kiri atau ke kanan, lampu isyarat akan dinyalakan, begitu juga di kebanyakan lampu isyarat, kenderaan akan menyalakan lampu isyarat untuk membelok. Jika anda tidak menyalakan lampu isyarat (hendak ke kiri atau ke kanan), maka andalah pemandu minoriti yang tiada disiplin semasa memandu. Sangat sukar untuk melihat kemalangan di sini. Antara lain, jika pejalan kaki melintas di zebra crossing, keutamaan yang diberikan adalah pejalan kaki. Memang sebagai pejalan kaki, kita akan meraskan betapa selamatnya melintas jalan disini.

PENGANGKUTAN AWAM

Sistem pengangkutan awan di Perth, didominasi oleh pengendali utama iaitu Trans Perth. Ia mendominasi sistem pengangkutan di dalam kawasan pusat bandaraya sehingga pinggir-pinggir bandar dan ia dibahagikan kepada beberapa zon. Pergerakan menggunakan train , feri dan bas boleh dikatakan cekap dan berkesan. Walaupun terdapat kesesakan di jalanraya tetapi masih boleh dikatakan kesesakannya tidak seperti di Kuala Lumpur. Ia hasil daripada kecekapan pengendali pengangkutan awam dan 'disiplin' yang diterapkan dalam pengendali pengangkutan awam. Mengapa disiplin saya tekankan disini? Saya akan huraikan sedikit mengenai faktor disiplin dengan kelancaran pergerakan jalan raya pada siri yang kedua.

Jadi, apa yang hendak saya kongsikan disini adalah berdasarkan pengalaman saya berada di Australia. Saya akan pecahkan kepada tiga bahagian iaitu pengangkutan awam daripada International Airport ke Pusat Bandaraya Perth. Kedua, sistem pengangkutan di dalam bandaraya dan terakhir sekali antara negeri. Untuk siri satu, saya akan menceritakan perkhidmatan awam antara lapangan antarabangsa Perth ke Pusat Bandaraya sahaja terlebih dahulu. Mudah-mudahan ia memberi manfaat atas perkongsian ini. Jadi teruskan membaca. 

1. Antara Lapangan Terbang Antarabangsa ke Pusat Bandaraya Perth

Apabila anda tiba di Lapangan Antarabnagsa Perth, antara perkara pertama yang perlu difikirkan adalah bagaimana untuk ke Pusat Bandaraya Perth  (Bunbury, Busselton dll) . Dalam hal ini, ia bergantung kepada budget yang anda pilih, sama ada memilih budget yang rendah atau anda tidak kisah berapa banyak yang hendak dibelanjakan. 

Sebelum itu, suka untuk saya ingatkan. Anda seharusnya mengetahui bilakah waktu anda akan tiba di Lapangan Terbang. Ini kerana ia akan memberi kesan terhadap pemilihan pengangkutan awam yang kita pilih. Jika kita tiba pada tengah malam, ada sebahagian pengangkutan awam yang tidak beroperasi. Secara tidak langsung juga ia memberi kesan terhadap budget dan perjalanan. 

a) Perth Airport Shuttle - Connect
Setibanya di Terminal 1 (Terminal Antarabangsa) seelok-eloknya anda bertanya kepada petugas perkhidmatan bas, samaada bas yang anda naiki adalah melalui atau berhenti berhampiran dengan tempat menginap anda. Ini kerana tempat perhentian bas ini hanya ditempat tertentu sahaja (di dalam pusat bandaraya). Terdapat lima kawasan utama iaitu:
  • East Perth train station
  • Western Australia Museum di Beaufort Street
  • Wellington Street, bertentangan  dengan YHA Backpackers Hostel
  • The Kings Perth Hotel, penjuru antara Jalan Pier dengan Jalan Hay
  • The Ambassador Hotel, Adelaide Terrace.

Perlkidmatan Airport Shuttle - CONNECT

Jika lokasi anda jauh atau luar daripada pusat bandaraya Perth seperti yang dinyatakan diatas, anda perlu mengambil perkhidmatan pengangkutan awam yang lain. Jadi pastikan anda mengetahui lokasi penginapan anda terlebih dahulu. Baca tips penting apabila melancong ke luar negara.

Untuk mendapatkan perkhidmatan ini sangat mudah kerana pembelian tiket boleh dibeli terus daripada pemandu bas (CONNECT), dan pembelian dibuat secara tunai. Tiket adalah berharga AUD 15 setiap seorang. Tempahan secara 'online' juga boleh dibuat. Tetapi bagi pendapat saya, tidak ada keperluan sangat untuk belian secara atas talian. Ini kerana perkhidmatan ini sentiasa ada. 

b) Teksi
Jika anda mempunyai budget yang lebih ataupun inginkan perkhidmatan yang lebih selesa, pilihan menggunakan teksi adalah bersesuaian. Terdapat dua pilihan utama, sama ada  Swan Taxis atau Black & White Cabs.

Perkhidmatan ini boleh didapati setiap hari untuk mengambil penumpang daripada Lapangan Terbang terus ke destinasi. Lebih mudah dan selesa. Anggaran perjalan menggunakan teksi ke Pusat Bandaraya Perth sekitar 20 ke 30 minit, bergantung kepada kesesakan jalan raya. 


Teksi Swan

c) Trans Perth
Pilihan menggunakan bas Trans Perth adalah pilihan paling murah dalam menggunakan pengangkutan awam daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Perth ke pusat bandaraya. Sekitar AUD 5 (sudah tidak ingat harga tepat ketika itu) diperlukan untuk ke zon satu. Ia merupakan bas jenis berhenti-henti untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Masa yang diambil untuk sampai ke destinasi juga agak lama.

Perkara yang paling penting jika hendak menggunakan bas ini adalah perlu mengetahui nombor bas yang perlu diambil dan bila waktu tamat perkhidmatan. Jangan ambil mudah dalah hal ini, kerana perkhidmatan bas ini ada yang akan tamat pada 8.30 malam atau lewat sedikit pada hujung minggu. Pebgalaman terkandas di stesen bas membuatkan saya lebih mengambil tahu waktu perkhidmatan.

Pastikan anda mengambil bas bernombor 380 jika berada di terminal 1 atau 2. Manakala jika berada di terminal 3 atau 4 (domestik) anda perlu mengambil bas bernombor 40. Untuk penggunaan bas ini, anda akan berhenti di perhentian terakhir iaitu  stesen bas Elizabeth Quay, di pusat bandaraya.

Untuk setakat ini sahaja perkongsian dari saya, nantikan siri ke dua ye...
Assalamualaikum.. 

Monday, 2 January 2017

MASS RAPID TRANSIT (MRT) DIBUKA KEPADA UMUM


KESEMPATAN

Pada hari pertama tahun baru 2017, baru saya ada kesempatan untuk mencuba sistem pengangkutan awam baru negara; MASS RAPID TRANSIT (MRT) iaitu sistem pengangkutan awam berasaskan rel. Bersesuaian dengan nama yang diberi, MRT mampu membawa penumpang yang lebih ramai berbanding transit aliran ringan atau light rail transit (LRT), monorel, KTM Komuter, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Setibanya di stesen MRT Kwasa Sentral, saya perlu menaiki  eskalator yang agak tinggi pada perkiraan saya. Ia merupakan laluan untuk ke bahagian atas dimana pengguna perlu melepasi laluan berpalang dan seterusnya ke bahagian platform. Penggunaan eskelator yang agak tinggi adalah kerana stesen-stesen MRT kebanyakannya dibina secara bertingkat. Jika eskalator ini tidak berfingsi, alamat boleh 'berpeluh' dibuantnya jika menggunakan tangga. Walaubagaimapun, lif juga turut disediakan selain memudahkan pengguna Orang Kurang Upaya (OKU). 


PERCUMA

Pada kali ini saya tidak keseorangan, saya bersama sahabat saya Ghazali ingin merasai pengalaman sendiri menaiki MRT bermula dari stesen Kwasa Sentral sehingga stesen Semantan. 

Untuk makluman, pada fasa pertama ini hanya stesen Sungai Buloh sehingga stesen Semantan akan beroperasi. Pengguna tidak akan dikenakan sebarang bayaran selama sebulan iaitu bermulanya sehari selepas hari perasmian sehingga 16 Januari 2017. 

Untuk menaiki MRT, terdapat pilihan sama ada menggunakan kad 'Touch n Go' atau bayaran secara tunai di mesin layan diri. Cuma, untuk kali ini ia adalah percuma. Bagi yang terlupa membawa kad 'Touch n Go', penggunaan Kad Pengenalan (Malaysia) juga diterima kerana ia juga berfungsi sama seperti kad 'Touch n Go' (lihat logo Touch n Go dibelakang kad pengenalan).

CIRI-CIRI STESEN DAN TREN

Apa yang menarik, ciri-ciri keselamatan di pertingkatkan di setiap stesen MRT iaitu penggunaan pintu penghadang antara platform dan tren. Ketinggian penghadang ini kira-kira 5 kaki tinggi dan dengan ketinggian ini mampu menghalang daripada seseorang melepasi ke bahagian rel tren. Ia dilihat lebih selamat berbanding platform terbuka. 

Melalui pengamatan saya, apabila tren berada di posisi berhenti sepenuhnya, pintu tren akan dibuka terlebih dahulu kemudian akan diikuti dengan pintu penghadang platform. Diantara dua pintu penghadang platform pula terdapat lampu yang berfungsi sebagai isyarat pintu akan dibuka. 

Butang kecemasan juga turut disediakan jika berlakunya kecemasan dan mudah ia dicapai sama ada orang dewasa mahupun kanak-kanak. Tapi awas! jika disalah guna, denda akan dikenakan. 

Bagi memudahkan perancangan perjalanan, paparan skrin dapat membantu pengguna mendapatkan maklumat masa ketibaan tren selain pengumuman juga akan dibuat. Pada paparan skrin akan tertera sehingga tiga (3) jadual masa ketibaan tren. Jadi pengguna boleh memilih perjalanan tren. Tempoh masa menunggu bagi satu-satu tren juga tidak lama. 

Manakala di dalam tren, skrin maklumat interaktif akan memaparkan perjalanan bagi setiap stesen dan laluan stesen-stesen berikutnya. Penggunaan skrin seperti ini lebih praktikal dan lebih jelas dalam mendapatkan maklumat perjalanan.

Antara ciri-ciri yang terdapat pada tren MRT adalah bersifat automatik, ia tidak memerlukan pemandu di dalam tren. Semua pengendalian operasi akan dikendalikan di pusat kawalan operasi. Ia akan memantau semua aktiviti keluar masuk tren di depoh dan pergerakan tren di laluan-laluan utama. Selain itu juga pusat kawalan operasi bertangungjawab memastikan tren yang beroperasi adalah mencukupi untuk menampung bilangan penumpang sepanjang laluan MRT.

                                             Antara Pengguna yang menaiki MRT

Ciri-ciri rekaan kabin tren MRT pula adalah lebih luas dan mesra golongan orang kurang upaya (OKU). Dengan ciri yang lebih luas ini MRT dapat menampung penumpang yang lebih ramai dalam satu-satu masa.

Sempat juga saya meninjau ruang solat lelaki (surau), ia bersaiz tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Ia boleh dianggap selesa untuk mendirikan solat disini. 
                                         
TERUJA

Rata-rata penumpang pada hari tersebut datang secara berkumpulan. Ada antara mereka yang datang sekeluarga, ibu bapa mambawa anak-anak bersiar-siar sementara cuti hampir berakhir. Ada juga yang datang bersama-sama rakan dan tidak ketinggalan juga pengguna warga asing yang turut menggunakan MRT. 

Sempat juga saya menegur seorang mak cik yang berumur lingkungan 60an. Dia menyatakan keterujaan semasa menaiki tren. Juga tidak ketinggalan anak-anaknya yang membawa beliau bersia-siar. Dapat saya melihat riak wajah mereka akan kegembiraan.


Melihatkan ramai pengguna yang ber'selfie' di dalam tren, mengambil gambar permandangan dan turut juga kedengaran gelak tawa pengguna, ia dapat sedikit sebanyak menggambarkan bahawa mereka berpuas hati dan gembira dengan perkhidmatan yang diberikan. Diharap pihak syarikat dapat meneruskan dan konsisten dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat.

BAS PERANTARA

Turun sahaja di Stesen Semantan, terus kami menaiki bas bernombor T821 iaitu laluan ke Kompleks Mahkamah. Memandangkan hari tersebut merupakan hari pertama tahun baru, maka perjalanan menaiki bas ke laluan Kompleks Mahkamah dan berpatah balik semula ke stesen yang sama adalah lancar walaupun jam sudah menunjukkan 11 pagi. 

Bas Perantara

Bas yang direka juga adalah mesra golongan OKU dan terdapat litar tertutup (CCTV) dalam memantau aktiviti di dalam bas atas tujuan keselamatan. Perlu diingantkan kepada semua pengguna, kita seharusnya memberi keutamaan dan laluan kepada golongan OKU dalam mendapatkan ruang di dalam bas. Bukan itu sahaja, untuk menaiki bas ini, pintu laluan masuk adalah dibahagian hadapan iaitu di sebelah kiri pemandu dan bukan dibahagian tengah. Pintu yang berada di bahagian tengah adalah dikhususkan bagi penumpang untuk turun daripada bas. Secara tidak langsung ia dapat memberi kelancaran keluar masuk penumpang bas.

HARGA TAMBANG

Jika dibandingkan harga diantara tunai dan Touch and Go. Penggunaan tunai adalah lebih mahal berbanding penggunaan Touch and Go. Maka, penggunaan touch and Go adalah lebih menjimatkan selain dapat menjimatkan masa pengguna MRT. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai MRT, boleh melawat ke laman sesawang rasmi MRT


Senarai kadar tambang MRT


Senarai laluan bas perantara




Wednesday, 2 November 2016

PENGALAMAN MENYAMBUT AIDILADHA DI INDONESIA

BAYANGAN PERTAMA

Pertama sekali yang terlintas di fikiran saya bagaimana keadaan yang bakal saya tempuhi apabila berada di bumi Indonesia. Rasa bimbang di hati bukanlah memikirkan masyarakat di sana, bukan juga memikirkan tempat menginap ataupun perjalanan panjang yang memenatkan. Tetapi rasa bimbang di hati adalah makanan yang ada disana. Manakan tidak, tempat yang bakal saya tuju adalah Telaga Itar, Kelua di Kalimantan Selatan. Tempat yang jauh dari persisiran pantai. Sudah pasti makanan seperti ikan darat lebih mudah didapati.

Apa yang menjadi sedikit kegusaran, ada sebahagian makanan yang agak sukar untuk saya jamah dek kerana tidak biasa dengan makanan tersebut. Lauk masakan daripada ikan darat seperti ikan haruan, ikan keli, ikan puyu, ikan patin dan sebagainya bukan makanan kebiasaan. Tetapi, jika dihidangkan dan tiada option, saya tetap menjamah tanpa mengeluh. Ia adalah sebagai tanda syukur, hormat dan terima kasih.

PERJALANAN

Kira-kira hampir 8 jam perjalanan perlu ditempuh dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) untuk ke Lapangan Terbang Syamsudin Noor, Banjarmasin, Indonesia. Ia mengambil kira faktor transit di Jakarta kira-kira 1 jam lebih. Ketibaan saya bersama-sama ayah, pak cik dan dua orang sepupuku disambut mesra oleh saudara Chairuzzaini A Gani, Sufian Anwar dan beberapa orang lagi. 

Pada perancangan awalnya, kami bercadang untuk terus ke Telaga Itar. Ia terletak kira-kira 201KM dari lapangan terbang dan mengambil masa lebih kurang 5 jam perjalanan menggunakan kereta MPV. Walaubagaimanapun, saudara Chairuzzaini A Gani menjemput kami untuk bermalam di rumahnya, tidak jauh dari airport memandangkan pada waktu itu jam sudah menunjukkan 8.30 malam waktu tempatan. 

Setibanya di rumah beliau, kami saling bertukar-tukar cerita sementara makan malam sedang dihidangkan. Bau menyelerakan membuatkan kami semakin lapar. Hidangan ayam goreng, nasi putih, sayur masak lemak, ulam-ulaman beserta sambal menjadi jamuan makan malam kami. Enak... Cukup enak... Ditambah pula badan yang agak keletihan dan lapar menambahkan lagi selera kami. 

SUASANA KAMPUNG

Hari telahpun cerah ketika jam menunjukkan 6.30 pagi waktu tempatan. Kami bersiap-siap dan bersarapan sebelum ke destinasi yang dituju iaitu Telaga Itar, Kelua. Perjalanan yang agak mencabar bagi perkiraan saya kerana kami akan menyusuri jalan-jalan kampung. Tiada highway sepanjang perjalanan ini. Jika dibandingkan perjalan di Malaysia umpamanya, dengan jarak 200-250KM hanya memakan masa 2 jam jika menggunakan highway.

Sepanjang perjalanan, saya dapati banyak rumah didirikan di sepanjang jalan kiri dan kanan. Kebanyakannya diperbuat daripada papan dan bersaiz sederhana. Malahan rapat-rapat pula rumah antara satu sama yang lain. Suasana kampung lebih terasa kerana tidak banyak bandar-bandar besar sepanjang perjalanan. Sekali sekala melalui rumah yang besar bak istana. Mungkin dimiliki oleh saudagar batu bara (arang batu). 

Kenderaan bermotosikal banyak di atas jalan berbanding kereta. Kelajuan kenderaan kami hanya dipandu dalam purata 50-60km/jam. Kadang-Kadang mencapai 80km/jam. Kenderaan tidak dipandu laju memandangkan perjalanan hanya menggunakan jalan dua hala dan kenderaan bermotosikal bertali arus. Walaubagaimanapun tiada kesesakann lalu lintas mahupun kemalangan.



Penduduk tempatan ke pasar pagi untuk membeli keperluan harian

Masyarakat tempatan pula terutamanya kaum ibu banyak memenuhi kawasan pasar-pasar di pagi hari, membeli barang keperluan harian dan sebagainya. Kaum bapa pula ada dilihat minum di kedai kopi, sebahagian pula bekerja di pasar-pasar mencari nafkah. Kanak-kanak juga dilihat bermain secara berkumpulan di tepi rumah, memandangkan pada hari tersebut adalah hari cuti.

Bagaikan tidak lengkap rasanya jika tidak menziarahi ke Makam Syekh Muhammad Arsyad Al-Bajari di Kalampayan iaitu terletak kira-kira 12KM dari pusat kota Martapura. Menurut maklumat yang diperolehi, Syekh Muhammad Arsyad Al-Bajari berasal dari Kota Matapura yang berketurunan Banjar, merupakan seorang ulama ahli fiqh dan merupakan mufti pada masa Kesultanan Banjar saat hidupnya. Kami tidak lama disini. Selepas menyedekahkan Al-Fatihah dan beberapa surah lazim. Kami meneruskan perjalanan kami. 

Setelah tiga jam perjalanan, kami singgah di Kandangan untuk mengalas perut. Memandangkan perjalanan masih berbaki sekitar dua jam untuk sampai di destinasi. Setidak-tidaknya kami dapat melepaskan penat duduk di dalam kenderaan. 

Banner iklan yang mula-mula kami terpandang adalah Ketupat Banjar. Bagi mengetahui sama ada ia sama atau tidak apa yang ada di Malaysia, maka kami menambil keputusan untuk mencubanya. Tetapi hanya saya seorang sahaja yang tidak memesan kerana awal-awal lagi saya sudah bertanya apakah bahan utamanya. Ternyata kuahnya berasaskan daripada santan dan beberapa remuan, manakala lauknya pula merupakan ikan haruan. Ia dimakan bersama-sama nasi impit. Seperti yang saya maklumkan pada awal-awal lagi, masalah utama saya pada makanan adalah ikan darat. Jadi saya sekadar memesan 'teh manis' atau di Malaysia dikenali sebagai teh O panas dan memakan beberapa keping kuih rempeyek. 30 minit juga kami disini dan sempat juga akhirnya kami mengalas perut dan merenggang-renggangkan otot akibat terlalu lama di dalam kereta. 

Perjalanan diteruskan lagi. Sekitar dua jam kami akan sampai ke destinasi yang dituju. Sementara dalam perjalanan, ada dikalangan kami yang melayari internet walaupun kelajuan internet agak perlahan berbanding di pusat bandar, ada juga yang melelapkan mata manakala saya pula masih asyik mengambil gambar yang menarik perhatian saya.

DESTINASI

Akhirnya tepat jam 1.30 petang, kami tiba di kediaman saudara Gazi di Telaga Itar. Kediaman yang bersaiz sederhana besar, diperbuat daripada papan,  dan di cat dengan warna biru cair. Ya, disini kami akan bermalam menanti hari raya Aidiladha yang bakal jatuh pada keesokan harinya. Sesi berkenalan dan bertukar-tukar cerita berlanjutan hampir satu jam lamanya. 

Sambil pada itu, kami dihidangkan beberapa jenis makanan tempatan. Iaitu satey ayam, wadai alua dan lemang. Kali ini saya cukup berselera memandangkan terdapat satey, dan lemang yang sememangnya makanan kegemaran. Menariknya, wadai alua rasa kuihnya sama sahaja seperti kuih bahulu. Cuma dimakan bersama air gula yang tidak terlalu pekat dan agak cair juga. Tetapi masih dapat merasakan rasa manisnya. Satey pula agak berbeza dari segi rasanya. Tekstur daging ayamnya agak lembut. Ini kerana, menurut maklumat, ayam yang banyak di pasaran Indonesia lebih bersaiz kecil atau lebih muda jika dibandingkan di pasaran Malaysia. Maka, tidak hairanlah tekstur satey lebih lembut. Manakala kuah satey pula seakan-akan kuah kacang di Malaysia, cuma kuahnya lebih halus, warna coklat kehitam-hitaman, sedikit pekat, mungkin kacangnya diblend sehingga halus. Rasanya juga agak berbeza, dan masih enak dimakan. Lemang yang saya jamah pula, sama sahaja apa yang terdapat di Malaysia.

AIDILADHA

Tanggal 12.9.2016 bersamaan hari isnin telah ditetapkan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha. Seusai solat subuh, masing-masing merebahkan badan sebentar. Merasa sedikit mengantuk memandangkan waktu solat subuh sekitar 5.10 pagi walaupun waktu jam tidak ada bezanya dengan waktu Malaysia. Mungkin, pada kebiasaannya, di Malaysia kita mungkin masih lagi tidur. Tetapi di sini, waktu siangnya lebih cepat.

Hati terasa agak teruja bilamana ingin menyambut Hari Raya Aidiladha di Indonesia. Manakan tidak, ini kali pertama kami menyambut Aidiladha di sini. Tidak sabar pula rasanya untuk memulakan aktiviti disini.

Motosikal sudah siap tersedia, kami beramai-ramai menunggang motosikal menuju dewan badminton yang mana dijadikan tempat mendirikan solat sunat Aidiladha. Ia terletak tidak jauh dari tempat kami bermalam. Iaitu sekitar satu kilomiter.


Mataku memandang penduduk tempatan. Kebanyakannya mengenakan pakaian berwarna putih, berkopiah dan mengenakan kain pelikat. Rata-rata mereka menggunakan dialek banjar berbanding menggunakan dialek Indonesia. Walaupun mereka menggunakan dialaek banjar, kebanyakannya saya memahami kerana saya juga berketurunan banjar. Cuma, tidak fasih untuk berdialek banjar. 

Imam sudah pun berada di dalam dewan, menjemput orang ramai masuk ke dewan untuk bertakbir beramai-ramai. Kami juga turut bertakbir memuji Allah S.W.T. Hati berasa syukur dan gembira dapat bersama-sama menyertai jemaah yang lain untuk bertakbir, mendengar khutbah, mendirikan solat sunat dan berdoa. Syukur Alhamdulillah...

Jam sudahpun menunjukkan jam 9.30 pagi. Penduduk yang tinggal di kawasn kariah sudah pun mula berkumpul untuk memulakan gotong-royong menyembelih binatang korban. Apa yang saya dapati, terdapat tiga ekor lembu yang bersaiz sederhana besar. Salah seekornya merupakan sumbangan dari kami yang diwakili pakcikku. Harga bagi seekor lembu sekiatar Rp16,000,000 atau lebih kurang RM5,300.00. 

Tidak kira tua atau yang muda, mereka sama-sama menyertai acara gotong-royong tersebut dan turut tidak ketinggalan juga para ibu menyaksikan upacara penyembelihan. Apabila diamati, suasana dan cara bergotong-royong sama sahaja seperti berada di Malaysia. Mereka saling tolong-menolong, ada antara mereka yang melapah, ada juga yang memotong tulang menjadikan kepada bahagian-bahagian kecil. Sebahagian yang lain membahagi-bahagikan bahagian daging yang sudah dipotong ke dalam plastik untuk diagihkan. Nampak jelas di raut wajah mereka kegembiraan, tambah pula pada tahun ini mereka dapat lebih sedikit bahagian daging.

Sebahagian daripada mereka sedang memotong daging

Masing-masing tidak pulang dengan tangan kosong. Setiap orang mendapat hak masing-masing untuk dibawa pulang dan semua pengagihan selesai kesemuanya sebelum masuk waktu zohor. Jadi pada sebelah petangnya dapat kami berehat sebentar.

Pada sebelah malam pula, diadakan pula majlis tahlil. Menyedekahkan bacaan Yasin dan doa kepada Arwah datukku dan saudara yang sudah lama meninggal dunia. Hidangan jamuan kali ini dibiayai oleh pakcik saya, manakala persiapan disediakan secara bergotong royang oleh beberapa orang.

Waktu yang dinanti telah tiba, selepas waktu solat Isyak, orang ramai sudah mula memenuhi ruang tamu. Jemaah lelaki dibahagian ruang tamu dan sebahagian yang lain di bahagian luar. Manakala jemaah perempuan berada di ruang dapur. Sudah lama rasanya saya tidak merasai suasana kampung dalam majlis tahlil. Seronok pula rasanya, mengimbau kembali waktu masih kecil kerana saya telah dibesarkan dikampung sehinggalah selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM, saya sekeluarga berpindah ke bandar. 

Kata-kata aluan daripada Imam sebagai pembuka bicara dan sedikit ucapan dan salam perkenalan turut disampaikan oleh pakcik dan ayah saya. Menyatakan syukur tak terkira dan berterima kasih atas layanan yang baik. Tidak pernah pula kami merasakan perbezaan walaupun kami datang dari 'seberang'.


Majlis diteruskan dengan bacaan Yasin dan doa tahlil. Disekahkan kepada arwah datukku dan saudara yang telah pergi terlebih dahulu. Mudah-mudahan upacara penyembelihan binatang  korban dan majlis doa tahlil ini akan menjadi sebagai bekalan kepada meraka yang telah pergi dan diterima Allah S.W.T. 

Apabila tiba waktu jamuan, hidangan dihidang secara tolong-menolong. Diletakkan didalam piring bagi setiap lauk dan diagih-agih kepada setiap seorang. Suasana kampung benar-benar terasa. Entah mengapa di hati cukup gembira, mungkin terkenangkan masa-masa kecil. Bersama-sama sahabat membantu tuan rumah menghidangkan jamuan. Indah dan seronoknya suasana ketika itu.  

Sedar tidak sedar, rata-rata tetamu sudah selesai menjamah makanan. Ada yang bersembang diantara mereka dan kadang-kadang kedengaran gelak tawa. Entah apa cerita yang melucukan. Begitu juga saya, bersembang terlebih dahulu sebelum mengemas pinggan. 

Tiba-tiba kedengaran laungan "Allahumma Sholli Ala Muhammad". Ia sebagai satu tanda ajakan pulang. Lebih sopan bukan cara ajakan pulang ini? Kaedah ini juga ada diamalkan di sesetengah tempat di Malaysia terutamanya di kampung. Cuma setakat ini saya tidak pernah pula melihatan amalan ini di bandar-bandar. 

Kini tiba giliran saya dan sepupu untuk mengemas pinggan-pinggan yang telah digunakan. Makanan yang elok dan tidak habis dikumpulkan supaya dapat mengelakkan sebarang pembaziran. 

Sekitar 10 malam.. Semua selesai dikemas. Dapatlah saya berehat selepas satu hari penuh dengan aktiviti. Pada keesokannya pula, kami akan ke Bandar Banjarmasin semula dan bermalam satu hari disana. 


 HARI TERAKHIR

Dari semalam lagi, kami sudah mula mengemas pakaian. Jadi, kami tidak tergopoh-gapah pada hari yang kami akan berangkat pulang. Aktiviti pada hari terakhir lebih kepada membeli-belah. Membeli pesanan daripada orang lain dan ada juga membeli sedikit cenderahati untuk dibawa pulang. 

Sempat juga kami ke pasar ikan dipagi hari. Melihat suasana pasar ikan disini. Banyak ikan darat seperti ikan keli, ikan sepat, dan ikan puyu dijual disini sama ada ia dijual segar atau dijadikan ikan kering. Disamping itu juga, banyak sayur-sayur tempatan dan buah pisang dijual. Kami tidak lama disini memandangkan tiada apa yang hendak dibeli.

Pulang sahaja ke rumah, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Banjarmasin. Cuma pada pagi tersebut kami dimaklumkan berita yang agak mengejutkan bahawa tuan rumah tempat kami menginap iaitu saudara Pak Cik Gazi telah dimasukkan ke hospital akibat jatuh sakit. Beliau dihantar ke Hospital di Ulin, Banjarmasin ketika kami sedang tidur nyenyak. Jadi, kami mempercepatkan persiapan untuk ke Banjarmasin. Setibanya di Ulin, kami melawat beliau dan keadaan beliau stabil. Masih boleh bercakap cuma tidak terlalu banyak. Sekitar 30 minit kami melawat beliau sebelum meneruskan perjalanan ke Bandar Banjarmasin. Disana kami menginap semalaman sebelum ke Jakarta dan pulang ke tanah air.

KENANGAN

Pengalaman ini akan menjadikan satu kenangan yang cukup manis buat kami. Ini kerana pengalaman menyambut Aidiladha di bumi Indonesia sebenarnya membawa satu makna yang cukup besar. Walaupun ia dipisahkan oleh sempadan, semangat ukhwah tetap utuh, saling hormat-menghormati, dan saling memahami. Bukankah kita serumpun? Mengamalkan budaya yang tidak jauh bezanya. Jadi, mengapa perlu dibeza-bezakan? Belajar untuk saling mengenali dan memahami... 





****


Untuk Makluman, setalah seminggu kepulang kami ke tanah air, sekali lagi kami dikejutkan berita bahawa Pak Cik Gazi telah kembali ke Rahmatullah. Semoga Allah merahmati beliau..

AL-FATIHAH

Monday, 31 October 2016

TIPS PENTING SEBELUM MELANCONG KE LUAR NEGARA

Jika ditanya kepada semua orang, mahukah mengembara ke luar negara? Pasti hampir 100% akan menjawab "Ya". Manakan tidak, pengalaman ke luar negara adalah suatu perkara yang cukup menyeronokkan. Dapat melihat budaya yang berbeza, muka bumi yang menakjubkan, makan yang berlainan dari kebiasaan dan macam-macam lagi. Pendek kata hampir semua perkara berbeza. 

Tetapi.. Perlu diingatkan dalam kegairahan untuk melancong ke luar negara, perlu ada sedikit persediaan agar tidak ada perkara-perkara remeh yang mampu menjejaskan "mood" ketika melancong nanti.

Di sini, saya akan berkongsi beberapa tips yang boleh diikuti sebelum anda mengembara ke luar negara:

1. Menyenaraikan Barang / Keperluan Yang Hendak Dibawa.

Perkara pertama yang paling saya suka sebelum mengembara adalah menyenaraikan barang atau keperluan sebelum mengembara. Perkara ini amat mustahak agar tidak ada barang keperluan yang akan tertinggal dan barang yang hendak dibawa adalah perkara yang benar-benar diperlukan. Tidaklah nanti kita membawa barang yang akan menyukarkan perjalanan kita nanti. 

2. Membawa Beg Yang Bersesuaian dan Tidak Lebih Muatan

Hendaklah membawa beg yang bersesuaian dan mudah agar semasa dalam perjalanan kita berasa selesa untuk mengangkat beg yang dibawa. 

Sebaik-baikya, bawa dua atau tiga saiz beg yang berbeza. Sebagai contoh, beg yang besar (cth:beg bagasi) boleh dimuatkan pakaian sepanjang tempoh melancong. Beg yang bersaiz sederhana (cth:beg galas belakang) boleh digunakan apabila keluar bersiar-siar selepas "check-in" hotel atau mana-mana tempat penginapan. Manakala, beg yang bersaiz kecil (cth: beg sandang tepi) boleh digunakan untuk menyimpan dokumen-dokumen penting seperti passport, dompet, wang tunai, handphone dan sebagainya. Jika tidak mahu bawa beg bersaiz kecil ini, boleh simpan barang atau dokumen penting di dalam beg yang bersaiz sederhana yang saya sebutkan tadi.

3. Bawa Barang Yang Perlu 

Berikut antara barang yang diperlukan:

a) Membawa Peta
Membawa peta merupakan perkara option dimana terpulang kepada anda sama ada hendak membawanya atau tidak. Bergantung kepada keselesaan anda, sama ada hendak menggunakan aplikasi di handphone atau peta. Peta akan berguna dimana handphone sudah kehabisan bateri dan anda memilih untuk melancong bersendirian tanpa tourist guide. Dalam hal ini, tidak perlu berasa khuatir jika tidak membawa peta. Peta juga boleh didapati di airport di negara yang dilawati nanti secara percuma (jika masih ada)

b) Sejadah Kecil Dan Kompas Kiblat.
Sebagai seorang Muslim, perkara yang perlu dititik beratkan adalah menjaga solat. Apabila anda melancong ke negara yang majoriti penduduknya non-Muslim, sebaik-baiknya bawa sejadah kecil dan kompas kiblat. Kerana ada ketika agak sukar untuk anda temui masjid atau surau untuk mendirikan solat ketika keluar bersiar-siar. 

Dalam menentukan arah kiblat pula, boleh meggunakan aplikasi di handphohe, tapi jika kehabisan bateri... kompas kiblat sangat membantu.

c) Power Bank
Dalam perjalanan yang panjang, sudah pasti handphone yang berada ditangan akan digunakan untuk melayari Facebook, Instagram, membuat panggilan dan sebagainya. Jangan biarkan handphone anda kehabisan bateri kerana ia akan menyukarkan anda untuk mencari maklumat (melayari internet) ketika berada di negara orang. Jadi, sebaik-baiknya bawa power bank yang mempunyai kapasiti yang besar dan tidak melebihi 20 000mAh (undang-undang).

d) Gajet
Pastikan gajet yang hendak dibawa dicas sehingga penuh dan jangan tertinggal charger gajet anda. Kosongkan memori handphone atau camera terlebih dahulu dengan memindahkan video dan gambar ke komputer riba. Jadi tidak, akan terlepas peluang untuk mengambil gambar atau video sebanyak yang mungkin. Tapi.. tidak perlulah sampai mengosongkan memori keseluruhannya, cukuplah sekadar mana yang anda rasa perlu.

e) Tisu Tandas
Jika di negara kita, kebanyakan tandas yang disediakan mempunya paip air. Ia cukup selesa bagi kita yang rata-rata menggunakan paip air. Tetapi jangan terkejut jika ada sesetengah negara yang dilawati kebanyakan tandas tidak mempunyai paip air. Tisu tandas ada disediakan, tetapi jika kebetulan giliran anda untuk menggunakan tandas dan mendapati tisu sudah habis. Ketika itulah tisu tandas yang anda bawa bagaikan "Super Hero"

f) Ubat-ubatan
Bawa ubat-ubatan yang diperlukan. Sekurang-kurangnya paracetamol (cth: panadol) dan minyak angin jika demam. Bagi yang mempunyai sakit seperti gaot, pastikan anda membawa ubat dan yang paling penting jaga makan di sana. Jika tidak, alamat duduk di hotel sahaja. Juga bawa ubat yang perlu dimakan secara berkala atas nasihat doktor (yang berkenaan)

g) Buku catatan dan bahan membaca
Simpan maklumat-maklumat penting di dalam buku catatan dan bawa bersama ketika sersiar-siar. Sebagai contoh, nombor telefon pasangan, rakan dalam kumpulan dan alamat penginapan. Perkara-perkara ini dianggap penting kerana anda perlu mengandaikan jika anda terpisah dari kumpulan, atau sesat sedangkan handphone sudah kehabisan bateri. Dengan menyimpan maklumat tersebut, anda boleh bertanya penduduk tempatan jalan pulang ke tempat penginapan.


Bagi yang suka mencatat pengembaraan, mencari ilham, menulis perkara-perkara penting, buku catatan merupakan "rakan karib" untuk meluahkan segala rasa yang terbuku di hati dari apa yang dipandang. Menggunakan buku catatan adalah cara terbaik walaupun penggunaan tablet (cth: galaxy note tablet, ipad) juga mampu melakukan perkara yang sama. Penggunaan buku catatan mampu menggurangkan penggunaan bateri dan lebih praktikal ketika mengembara.

Bawa bersama bahan bacaan yang anda minati. Dinasihati buku yang hendak dibawa tidak berat dan bersaiz kecil. Ini kerana mungkin terdapat perjalanan menaiki bas atau van yang memakan masa panjang sehingga 12jam. Sekurang-kurangnya dapat mengisi masa terluang.

h) Passport dan tiket penerbangan
Perkara yang paling utama adalah passport dan tiket penerbangan. Jangan sampai di airport baru menyedari dua perkara ini tertinggal . Menangis tak berlagu lah anda. 

4. Selidik Serba-sedikit Tempat Yang Hendak Dilawati
a)Cuaca
Selidik dan ambil tahu serba sedikit tempat yang hendak lawati. Ambil tahu cuaca dan suhu tempat yang hendak dilawati agar pakaian yang kita bawa  adalah bersesuaian.  

b)Restoran Halal
Jika melancong ke negara yang majoriti rakyatnya non-Muslim, sudah pasti restoran halal agak terhad. Maka, layari internet terlebih dahulu dirumah untuk mencari maklumat lokasi restoran halal. Tidaklah nanti, sudah berasa lapar baru hendak mencari.

c) Jenis Plug dan Socket
Kenal pasti terlebih dahulu jenis plug dan socket negara yang hendah dilawati kerana jenis plug dan socket di negara mereka mungkin berbeza di negara kita. Jika ada rakan yang memiliki, jenis plug yang sesuai, pinjam pada mereka atau beli sahaja apabila di sana.



d) Lokasi dan nama tempat
Adalah lebih baik jika anda mengingati nama-nama tempat yang hendak anda melancong. Ia akan memudahkan perjalanan anda dari satu kokasi ke satu lokasi. Jika sesat, anda masih tahu nama jalan pulang ke tempat penginapan.



*Perkara paling penting adalah menjaga keselamatan diri ketika melancong. Beri tahu rakan kumpulan anda jika hendak keluar bersiar-siar. Patuhi undang-undang dan jauh dari orang yang mencurigakan.